Thursday, December 24, 2009

Tahniah Kerana Cemerlang Dalam PMR 2009

Keputusan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) diumumkan pada hari ini. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan ini. Semoga Antum semua akan terus berjaya dunia, lebih-lebih lagi akhirat. Kejayaan di dunia akan semakin manis jika diikuti dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Ditambah lagi dengan 'amalan soleh dan ketaatan pada agama. Sejuk hati guru yang mengajar, lebih sejuk lagi ibu yang mengandung...

Berikut adalah keputusan awal PMR
44 orang pelajar mendapat 9A
30 orang pelajar mendapat 8A
28 orang pelajar mendapat 7A.

Keputusan keseluruhannya akan dimaklumkan kemudian..

Sunday, December 20, 2009

Pengkebumian

Jenazah Ustaz Salehan bin Ahmad telah dimandikan pada awal pagi. Selepas selesai dikafankan, jenazah dibawa ke Surau Al-Aziziah, Qaryah Tengah di Jalan Abdul Aziz untuk disembahyangi.

Ramai ahli keluarga, sahabat handai dan guru-guru SAMTSH turut hadir. Antara yang datang ialah Ustaz Suhaimi, Cikgu Fadzil, Pengetua Sekolah, Ustazah Salmah, Ustazah Hazlinda, Ustazah Norseha, Cikgu Faudiah, Cikgu Salahah, Cikgu Junainon dan ramai lagi. Turut hadir ialah para pelajar tingkatan 3, 4, 5 dan 6. Jenazah selesai disembahyangi pada jam 9.20 pagi.

Kemudian jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Jalan Universiti menaiki van jenazah. Kepada semua yang mengenali Ustaz Salehan, marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan beliau di alam barzah. Kita maafkan dan halalkan segalanya. Semoga ilmu yang dicurahkan pada kita semua dapat kita manfaatkan, seterusnya menjadi amal jariahnya..

Saturday, December 19, 2009

Takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Salehan Ahmad

Saya amat terkejut menerima sms ini sebentar tadi.... Ustaz Salehan bin Ahmad, seorang guru di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin baru kembali kerahmatullah selepas asar tadi ( 19 Disember 2009 ). Beliau telah dimasukkan ke wad ICU di Selangor Medical Centre ( SMC ) petang semalam. Jenazah beliau akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Jalan Kebun dan akan dikebumikan di sana pagi esok.

Ustaz Salehan bin Ahmad seorang Ustaz yang sangat dedikasi dan cemerlang. Setiap kali menjelang program hari guru sekolah, beliau akan tampil memberi satu persembahan yang menghiburkan dan menarik. Sebagai guru yang agak baru, saya sangat raspek pada kecekalan dan kerajinan beliau walaupun beliau mengalami sedikit komplikasi kesihatan setahun dua ini. Semoga Allah merahmati pemergian beliau..... Amin...

Thursday, December 3, 2009

Batu Belah Batu Bertangkup

Tahniah dan Selamat Menjalani Kuliah di Universiti Al-Azhar

Tahniah kepada 17 orang pelajar STAM 2008 yang telah selamat pergi pada awal bulan September 2009 dan belajar di Universiti Al-Azhar, Egypt.

Mereka yang berada di Universiti Al-Azhar Kaherah ialah :
1. Abdul basit bin Ruslim
2. Muhammad Amin bin Shaharil
3. Muhammad Iqbal bin Atan
4. Muhammad Hafizool bin Abdul Halim
5. Fatehah binti Asror
6. Noor Syafiqah binti Mahadi
7. Nor Azimah binti Shatir
8. Norkhadijah binti Sahak
9. Nur Atiqka binti Ngaliman
10.Nur Hazwani binti Ibrahim
11.Nur Najlaa binti zukhali
12.Nur Syafiqah Ayuni bt Hamdan
13.Siti Farhani binti ahmad Fuad
14.Siti Syazwanna binti Mohd Saharuddin

Manakala mereka yang mendapat kuliah di Universiti Al-Azhar Cawangan Mansurah dan mengambil kuliah Bahasa Arab ialah :

15.Muhammad Sabri bin Mastori
16.Muhammad Saiful Zahari bin Zakaria
17.Wan Mohamad Amzar Fitri bin Wan Mohd Azlan

Semoga kalian semua berada dalan keadaan baik, dapat belajar dengan penuh bersemangat dan seterusnya menghadapai peperiksaan kali pertama di bumi kinanah pada bulan Januari 2010 akan datang dengan tabah dan bersedia semantapnya.....
Ustazah di sini, sentiasa mendoakan kejayaan kalian semua.

Thursday, November 26, 2009

Sesak Kerana Lampu Isyarat

Setiap kali menjelang raya, semua orang ingin pulang ke kampung. Aku, walaupun sudah tidak punyai ibu bapa, namun masih punya keluarga mentua dan adik-beradik. Jadi, sebagaimana orang lain, setiap kali menjelang raya puasa atau raya korban, aku pasti tidak melepaskan peluang balik ke kampung.

Malam tadi, aku, suami dan 2 orang anak buah pulang ke kampung lebih kurang jam 9 malam. aku tinggal di Seksyen 36 Shah Alam dan haluan kami ke Sabak Bernam. Aku dan suami dari daerah yang sama. Aku di Batu 38 dan suamiku di Sungai Air Tawar. Sepanjang aku bermastautin di Shah Alam, biasanya perjalanan kami mengambil masa 2 setengah jam. Pernah sekali, kami sampai ke kampung mengambil masa 2 jam sahaja.

Jalan mula sesak setibanya kami di Tol Bukit Raja. Kami terus tersangkut dalam kesesakan lalulintas sehala. Laluan setentang nampaknya lengang. Mungkin kerana tidak ramai orang yang mahu ke bandar pada malam raya ini. Setiap kali tiba di simpang lampu isyarat, lampu hijau untuk laluan kami terlalu singkat, sedangkan tiga laluan yang lain agak lama walaupun kurang kenderaan. Begitulah yang berlaku hampir di semua simpang lampu isyarat.

Apa yang menjengkelkan ialah, jalan begitu lapang dan lengang selepas kami melalui lampu isyarat. Keadaan kembali sesak bila tiba di lampu isyarat berikutnya. Tiada polis trafik yang mengawal lalulintas langsung. Polis trafik hanya menjaga lampu isyarat Sekinchan satu-satunya. Ya, satu-satunya. Aku kira, inilah kali pertama aku bertemu kesesakan yang begitu teruk, hanya kerana lampu isyarat. Mungkinkah ada sesuatu yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebabkan keadaan ini berlaku.

Akhirnya kami sampai juga ke kampung pada pukul 2.30 malam. Perjalanan 120 km memakan masa lebih 5 jam. Kira-kiranya perjalanan kami pada malam tadi hanya 24 km sejam. Macam naik basikal pulak. Penat, bosan dan tertekan dengan keadaan tersebut. Ya, apa tidaknya. Aku pasti, anda semua pun akan rasa begitu apabila menghadapi situasi yang sama.

Lampu isyarat hanya ciptaan manusia. Ia dicipta untuk memudahkan urusan manusia, tetapi seringkali terjadi, apa yang dijangka memudahkan manusia, ia jugalah yang akan menyusahkan manusia itu sendiri nantinya.

Tuesday, November 24, 2009

Paku Karat Bersemadi Di Dalam Perut

Naysmith Robert dilahirkan dalam keluarga ternama di Scotland. Ia memiliki kebolehan luar biasa. Dia gemar memakan kaca, tembikar, paku dan lain-lain objek keras. Kebolehannya ini membawa dia menjelajah banyak negara untuk mempertontonkan kelebihannya kepada orang ramai.

Hidupnya semakin mewah. Bagaimanapun, pada usia 34 tahun, Naysmith menghentikan perbuatannya itu kerana kesihatannya mula terjejas. Gaya hidupnya berubah apabila dia terpaksa menjadi penggilap kasut dan akhirnya dia menjadi papa. Hidupnya berakhir di katil hospital. Semasa di hospital, Naysmith merahsiakan kerjaya silamnya daripada pengetahuan doktor yang merawatnya.

Keadaannya semakin teruk, anggota badannya bengkak-bengkak. Doktor terpaksa memecahkan kulitnya untuk mengeluarkan nanah yang terkumpul. Doktor yang merawatnya terkejut apabila dia menemui sebatang paku karat turut keluar barsama nanah dan darah. Kesihatan Naysmith sedikit pulih. Tetapi dia akhirnya meninggal pada musim panas 1906.

Daripada post mortem yang dijalankan, doktor dapat mengeluarkan 30 batang paku, puluhan ketul batu dan beberapa batang jarum yang terlekat pada hati, buah pinggang dan ususnya. Anehnya, kematian Naysmith bukan kerana objek itu tetapi kerana penyakit gastrik yang dihidapinya.

Dipanah Petir Hingga Ke Liang Lahad

Major Summerford mungkin dianggap mangsa petir yang paling hebat. Sepanjang hayatnya, dia telah dipanah petir berkali-kali.

Kali pertama dia dipanah petir ketika menyertai peperangan di Flanders pada tahun 1918. Summerford ketika itu sedang mengetuai satu pasukan tentera di Kanada. Walaupun kuda yang ditunggangnya maut, namun dia hanya mengalami cedera ringan sahaja. Enam tahun kemudian, ketika sedang memancing di kampung halamannya di Vancuover, sekali lagi lagi dia dipanah petir. Kali ini nasibnya kurang baik. Panahan petir itu menyebabkan bahagian pinggang ke bawah menjadi lumpuh.

Entah apa malang Summerford, genap enam tahun selepas kejadian kedua, ketika dia sedang berehat diberanda rumahnya, sekali lagi dia dipanah petir. Ketika itu hujan turun renyai-renyai.
Kejadian ketiga ini menyebabkan seluruh tubuhnya menjadi lumpuh. Summerford terlantar beberapa lama sebelum dia meninggal pada tahun 1932.

Malang lagi nasib Summerford, setelah dua tahun meninggal dunia, sekali lagi petir memanah tanah perkuburan Vancouver tempat Summerford disemadikan. Panahan itu menyebabkan sebahagian binaan tanah perkuburan itu runtuh.

Sunday, November 22, 2009

Khalid Sepupu Sayyidina Uthman memeluk Islam


Suatu hari, Abu Uhaihah @ nama sebenarnta Said bin Al-Ass ( Saudara lelaki Affan ) duduk-duduk dalam masjidil haram bersama sebahagian daripada 10 anak-anaknya. Khalid anak bongsunya turut serta. Ketika itu, nabi Muhammad sedang menyeru orang Quraisy kepada Islam. Semua yang berada dalam masjidil haram turut mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad.

Pada malam itu, Khalid tidak dapat tidur kerana memikirkan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad. Lama dia terkelip-kelip di atas katilnya. Akhirnya dia tertidur juga. Dalam tidurnya dia bermimpi, melihat sebuah lubang api yang sangat besar dengan api yang sedang bergejolak tinggi. Lidah api yang sangat besar itu seakan mahu menjilat dirinya. Dalam kengerian melihat api itu, tiba-tiba dia melihat ayahnya datang dan mahu menolaknya masuk ke dalam lubang api itu. Khalid merasa sangat takut. Dia mahu lari tetapi tidak berdaya, kakinya seakan melekat di situ. Dia tidak berdaya menyelamatkan diri daripada huluran tangan ayahnya yang mahu menangkap dan memasukkannya ke dalam api yang sedang bergejolak itu.

Dalam keadaan dia bergelut dengan ayahnya itu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang amat indah wajahnya dan sangat dikenalinya. Lelaki itu memegang tangannya dan menarik dirinya menjauhi api tersebut. Dia melihat, lelaki yang kacak dan telah menyelamatkannya itu adalah Muhammad bin Abdullah yang mendakwa menerima wahyu dan sedang menyebarkannya di kota Mekah pada saat itu.

Sebaik terjaga, Khalid terduduk lama. Keesokan harinya dia mencari Nabi Muhammad dan menemuinya di rumah Arqam bin Abi Arqam. Setelah berbincang beberapa perkara, akhirnya dia mengucapkan lafaz syahadah dihadapan Nabi.

Wednesday, November 18, 2009

Sunday, October 25, 2009

Saturday, October 24, 2009

Kursus LADAP SAMTSH Hisamuddin



Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan dan jamuan akhir tahun guru dan kakitangan SAMTS Hisamuddin anjuran Unit Perkembangan / Kebajikan Guru telah diadakan di Bilik Seminar Diamond 2, tingkat 7, Hotel Gold Course, Klang.

Seramai 64 orang guru dan kakitangan telah dapat menghadirkan diri dalam kursus yang diadakan dari jam 7 pagi hingga 6 petang ini. Sesi pagi dimulakan dengan Ceramah Pengurusan P & P Berkesan telah disampaikan oleh Encik Zainuddin bin Othman. Selepas rehat, pada jam 10.45 pagi Ceramah kedua pula telah disampaikan oleh Encik Saibudin bin Hj Ahmad dengan tajuk Pengurusan Disiplin Pelajar dan Pembangunan Profesional Guru.

Majlis berehat untuk makan, sesi penyampaian hadiah dan solat pada jam 1 tengah hari hingga jam 2.45 petang. Seterusnya, majlis disambung pula dengan Ceramah Pengurusan Aset Mudah Alih oleh Encik Mohd Tahir bin Mohd Ali selaku ketua kerani SAMTSH. Penyampaian beliau bersahaja dan sangat menarik menjadikan guru-guru dan kakitangan sangat berpuas hati kerana banyak maklumat baru dapat dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Pelbagai persoalan juga telah dapat dijawab oleh Encik Tahir dengan baik.

Majlis LDP ini diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada Pengetua di atas kesudian semua guru dan kakitangan menghadiri kursus ini.

Friday, October 23, 2009

Jiran-jiranku

Sewaktu kecilku, aku tinggal di Tebuk Hj Abdan. Rumahku berada di Jalan Hj Idris. Di kiri rumahku ialah rumah isteri kedua ayahku iaitu Sumarmi. Mak Sumarmi mempunyai 11 orang anak hasil perkahwinan dengan ayahku. 5 lelaki dan 6 orang perempuan. Ibuku Siti Bayah dan adik-beradikku 8 orang. 5 lelaki dan 3 perempuan. Manakala jiran di kanan rumahku adalah sebuah keluarga cina yang menyewa tanah ayah. Tan Tien Oun adalah ketua keluarga. Dia mempunyai 7 orang anak.

Apa yang menarik mengenai kami semua ialah anak pertama hingga kelapan/ ketujuh adalah sebaya. Kami dilahirkan antara tahun 1969 hingga 1981. Bayangkan betapa meriah dan seronoknya zaman kanak-kanakku. Apa sahaja permainan, kami sentiasa cukup ahli. Kami sememangnya anak-anak kampung yang lasak bermain. Jalan dan halaman kami tidak ditumbuhi rumput kerana kami rajin memijaknya. Tambahan pula, banyak pokok nipah di sekeliling rumah-rumah kami. ayah tidak membenarkan nipah-nipah itu ditebang kecuali jika mahu membuat atap.

Anak-anak cina jiranku bernama Tan Ah Chu, Tan Kim Seng, Tan Siew Hong, Tan Lai Chu, Tan Siew Tin, Tan Bee Ling dan Tan Kim Tek. Tan Siew Hong sebaya denganku. Anak Mak Sumarmi yang sebaya denganku ialah Siti Mutmainah. Kami bertiga adalah anak ketiga dalam keluarga.

Tan Tien Oun membuka perniagaan membeli buah koko daripada penduduk kampungku. Selalunya bila koko beliannya banyak, dia akan meminta tolong pada kami membantu menjemur koko pada waktu pagi dan mengangkat koko pada waktu petang. Kami akan diberi upah atas kerja itu. Kadang-kadang dalam sehari dapatlah aku 50 sen hingga seringgit. walaupun hanya lima puluh sen, tetapi awal tahun 80-an, nilainya tinggi. Aku belanja sekolah pun hanya dengan duit 20 sen. Kadang-kadang tak berbelanja langsung apabila ibu tidak mampu memberi duit belanja sekolah. Sebab itulah aku malas pergi sekolah agama. Ibu tidak dapat memberi wang belanja untukku jika aku sekolah petang.

Apa yang menarik mengenai keluarga cina jiranku ini ialah semua anak-anaknya pandai berbahasa Jawa. Kami memang berkomunikasi menggunakan bahasa jawa, bukan Bahasa Melayu. Ibu kata sewaktu abang sulungku kecil, ia selalu juga bermain dengan anak cina yang sulung. Abang cakap jawa, Tan Ah Chu bercakap cina. Lama-lama anak cina tu pandai cakap Jawa, kami cuma tahu sedikit sahaja berbahasa cina.

Biasanya, kami anak-anak daripada 3 buah rumah mempunyai permainan semasa. Permainan yang sering kami mainkan ialah baling botol, baling kasut, baling tin, galah panjang, rondas dan mandi dalam parit di depan rumah. Ada ketikanya, kami mandi parit sehingga parit itu keruh dan berlekuk kami bermain tanah ditebingnya, ayah akan menghambat kami naik menggunakan pelepah kelapa. Mencicit kami melarikan diri dari kena hambat...

Dua minggu selepas aku selesai menghadapi peperiksaan STPM,aku pergi ke Mesir iaitu pada pertengahan Disember 1992. Ketika aku berada di Mesir, keluarga cina ini telah berpindah ke pekan Sabak bernam. Selepas aku balik ke Malaysia pada tahun 1998, adalah beberapa kali keluarga cina ini datang ke rumahku pada hari raya. Kali terakhir aku bertemu keluarga ini adalah tiga tahun yang lalu. Nampaknya anak-anaknya yang kutemui masih boleh berbahasa Jawa.Seperti keluargaku, hampir semua anak-anak cina jiranku dulu telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.

Tuesday, October 20, 2009

Mengapa Harta Pusaka Lambat Dibahagikan


Waris biasanya melambatkan pembahagian harta pusaka kerana salah satu sebab yang berikut :

1. Salah tanggapan.
Sebahagian masyarakat merasa berdosa jika harta segera dibahagikan kerana beranggapan
" Tanah kubur masih merah lagi". Ini adalah salah dengan konsep Islam kerana Sayyidina
Umar pernah memadamkan pelita seorang sahabatnya yang telah mati kerana dikhuatiri
minyak pelita itu habis, kerana minyak itu milik waris dan beliau masih belum meminta
izin daripada waris-waris untuk menggunakannya.

2. Terlalu bersopan.
Masyarakat kita terkenal dengan sifat bersopan santunnya. mereka berhati-hati agar
masyarakat tidak mengata sesuatu yang tidak baik pada mereka. Mengenai harta pusaka,
mereka bimbang dikata orang sebagai tamakkan harta atau dipandang serong oleh ahli
keluarga mereka sendiri.

3. Tiada pengetahuan.
Sebahagian pewaris tidak mengetahui secara mendalam mengenai pengurusan dan
pembahagian harta pusaka. Mereka tidak tahu bagaimana cara menguruskan pusaka, siapa
yang patut mereka rujuk, berapa bahagian setiap individu yang ditinggalkan, siapa golongan
yang layak menerima harta pusaka tersebut dan ditambah lagi jika mereka tidak mempunyai
wang simpanan langsung. Mereka beranggapan, apa-apa urusan tanah dan harta, ia mesti
dikenakan bayaran sedangkan mereka tidak mempunyai wang.

4. Sikap tidak apa @ tidak prihatin.
Sesetengah masyarakat pula menganggap menyelesaikan masalah pusaka sebagai suatu
urusan remeh temeh. Tidak mengapa jika ia lambat diuruskan. Mereka hanya mahu
menguruskannya jika ada yang menguntungkan mereka seperti harta itu hendak dijual,
digadai atau diambil oleh kerajaan dan mereka mendapat wang bayaran atau pampasannya.

5. Menaruh harapan pada anak sulung.
Sebahagian masyarakat pula meletakkan tanggungjawab menguruskan pusaka pada anak
sulung sahaja. Sedangkan anak sulung kadang-kadang tidak tahu apa yang harus
dilakukannya. Sepatutnya waris perlu memilih siapa dikalangan mereka yang paling
bertanggungjawab dan mampu menguruskannya dengan adil mengikut Islam.

6. Tidak mahu harta berpindah kepada orang lain.
Sebahagian waris pula malas menguruskan harta pusaka kerana tidak mahu menyusahkan
diri sendiri dan selesa dengan keadaan sedia ada. Mereka ini biasanya duduk di atas tanah si
mati. Mereka bimbang jika ia diuruskan, tanah yang mereka duduki akan berpindah kepada
waris yang lain pula. Jadi, untuk tidak berlaku demikian, eloklah tanah itu terus kekal dengan
nama si mati.

7. Pertelingkahan dalam kalangan waris.
Pertelingkahan dalam kalangan waris juga menjadi punca ia lambat diuruskan. Hal begini,
biasanya berlaku jika si mati meninggalkan waris yang ramai. Isteri lebih seorang dan
bilangan anak yang sangat ramai. Keadaan ini, bertambah sukar jika semua waris itu kurang
memberi kerjasama, duduk berjauhan.
Akibat daripada perkara ini, pusaka itu tidak dibahagikan dan lebih malang lagi jika yang
tamak terus menguasai harta itu tanpa kerelaan semua waris yang lain. Ia tinggal di atas
tanah milik si mati, memakan hasil tanah itu, sedangkan waris lain tidak mendapat apa-apa
manfaat dari harta si mati itu selagi ia belum dibahagikan.

Pemergian Ibu

Hari itu, 3 Januari 2007, aku dan suami bersegera pulang ke kampung jam 11 malam. Tadi adik menelefonku. "Kak baliklah cepat, mak macam dah tak ada je".

Sepanjang perjalanan, tak berhenti airmataku mengalir. Baru saja rasanya aku meninggalkan ibu. Ketika aku pulang ke rumahku minggu lalu, aku meminta keampunan pada ibu. Ibu memelukku dan mengatakan dia telah memaafkan dosa semua anak-anaknya. Ibu juga memeluk suamiku dan berpesan agar suamiku menjagaku dengan baik.

Ibu dimasukkan ke wad di HBTAR pertengahan Disember kerana komplikasi penyakit hepatitis, kencing manis dan darah tingginya. Seminggu kemudian ibu dibenarkan pulang ketika keadaan sangat tenat. Rupanya, bila berada di rumah, ibu semakin sihat dan boleh berjalan. Ramai orang menziarahi ibu dan ibu sempat meminta maaf pada semua orang. Bekas menantu ibu juga dapat datang bersama 2 orang cucu ibu. Ibu teringin benar melihat cucu ibu yang baru dilahirkan 2 bulan yang lalu.

Ibu! seakan tak sempat aku berjasa padamu Ibu. Kaulah ibu yang telah bersusah payah membesarkan kami 8 beradik sejak pemergian ayah hampir 2 dekad yang lalu. Kaulah ibu sejati yang mendidik kami dengan nilai akhlak dan keimanan.

Sampai di kampung, jam menunjukkan jam 12.30 malam. Seingatku, itulah kali pertama dan terakhir aku boleh sampai ke kampung secepat itu. Selalunya paling awal 2 jam. 2 orang makcikku dan 2 orang adikku sudah berada di rumah. Ku lihat, wajah ibu seakan tersenyum menyambutku pulang meskipun matanya telah terpejam rapat. Kata abang " Ibu pergi dalam keadaan sangat tenang tidak lama selepas selesai abang suapkan makan malam". Malam itu juga, kami selesai memandikan ibu sekitar jam 3 pagi. Kami terus bacakan Yasin untuk ibu secara bertukar ganti.

Esoknya, majlis pengkebumian selesai pada jam 11.30 pagi. Ketika penggali kubur menimbunkan tanah, ia menginjak-injak tanah di atas perkuburan. Anak buahku Afifi yang berusia 4 tahun bertanya kepada ibunya iaitu adikku " Ibu, kenapa orang tu pijak-pijak tanah atas Embah, nanti kalau ibu meninggal, Pipi pun kena buat macam tu jugakke?.

Seperti sewaktu kematian nenek pada tahun 2000 dan adik kepada ibu pada tahun 2004 ( yang dikebumikan di tanah perkuburan yang sama ), kami menyambung membaca Yasin di makam bersama semua ahli keluarga. Ya Allah! pastinya ibu gembira disisimu kerana ibu adalah seorang guru Al-Qur'an. Ibu giat belajar tajuid dan mengajarkan pada muslimat di kampung dan Pekan Sabak Bernam sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Saturday, October 17, 2009

Aspuri dan Aspura dan Para Warden Sekolah


Aku mula mendaftar sebagai salah seorang warga sekolah ini mulai 1 Oktober 2007. 2 tahun berada di sekolah ini telah memberi pelbagai cerita dan suka dan duka.
Aku adalah salah seorang warden aspuri. Selain aku, warden yang lain ialah Puan Sabariah, Puan Rubiah, Puan Norhasliza dan Puan Shamsiah. Manakala warden lelaki pula ialah Ustaz Nizam, Ustaz syukri, Cikgu Azlee, Cikgu Muzakkir dan Ustaz Yusri.

Majlis Pengawas Asrama ( MPA ) pula dilantik setiap tahun dan pertukaran biasanya berlaku pada bulan Ogos. Gambar di atas adalah sebahagian besar daripada semua MPA yang seramai 22 orang yang terdiri daripada pelajat tingkatan 2, 3 dan 4.

Penerima Pusaka Lelaki & Wanita

3 Kumpulan Penerima Pusaka
A ) Ahli Keluarga Yang Pasti Mendapat Bahagian Pusaka
Mereka ada 6 kumpulah iaitu :

1. Suami yang sah ( 1/2 atau 1/4 jika ada anak )
2. Isteri yang sah (1/4 atau 1/8 jika ada anak )
3. Anak lelaki ( sekali ganda berbanding anak perempuan )
4. Anak Perempuan ( separuh daripada bahagian anak lelaki )
5. Ibu Kandung ( 1/3, 1/3 baki atau 1/6 )
6. Ayah Kandung ( 1/6, 'asobah atau 1/6 tambah 'asobah )

B ) Ahli Keluarga ( Lelaki ) Yang Boleh Mendapat Pusaka
1. Adik beradik ( seibu sebapa. sebapa atau seibu )
2. Anak lelaki kepada adik beradik seibu sebapa @ sebapa.
3. Bapa saudara seibu sebapa dengan bapa @ sebapa sahaja.
4. Sepupu ( anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa dengan bapa @ sebapa.

C ) Ahli Keluaraga ( Perempuan ) Yang Boleh Mendapat Pusaka
Mereka ialah adik beradik seibu sebapa, sebapa atau seibu sahaja.

Wednesday, October 7, 2009

Rakan Serumah di Al-Azhar Mansurah





Gambar ini di diambil di kedai Syams, Madinatis Salam, Mansurah, Egypt pada 1 September 1998. Ketika itu, aku mengulang pengajian tahun 4 Syukbah Usuluddin Qismu Aqidah Wa Falsafah dengan membawa 4 Madah. Zarina ( berdiri di kiri sekali ) sudah menamatkan pengajian Ijazah Syariahnya dan akan pulang ke Malaysia. Azhariah adik dari Kelantan ( bertopi merah ) dan Ayuswati juga dari Kelantan ( duduk ) baru berada di tahun 2. Mereka baru datang ke Mesir pada sesi 1996-1997.

Kini, selepas 11 tahun berlalu, aku sering terkenangkan rakan-rakanku ini. Pada hari raya pertama tahun ini, aku sempat menziarahi Zarina yang ketika itu berada di rumah ibunya di Pasir Panjang. Beliau telah pun mempunyai 4 orang cahaya mata terdiri daripada 2 lelaki dan 2 perempuan. Kini beliau dan suaminya bertugas di Teluk Intan, Perak. Ayuswati, kali terakhir aku bertemu dengannya pada bulan Ogos tahun 2006 yang lalu. Ketika itu, aku terlibat dalam satu program di Kelantan. Beliau menemuiku di tempat penginapan. Kemudian kami pergi ke sebuah restoran. Beliau bersama suami dan 3 orang anak beliau. Azhariah juga dapat aku hubungi seminggu selepas aku bertemu Zarina. Harapanku, semoga jalinan persahabatan kita tetap berkekalan....

Beberapa hari lalu aku berhubung dengan Ayuswati. Beliau memaklumkan bahawa kini beliau mempunyai 4 orang anak yang terdiri daripada 2 lelaki dan 2 perempuan. Sama dengan Zarina...
Beliau mengajakku untuk bertemu sekiranya aku pergi ke Kelantan.... Tapi entah bilalah aku akan dapat pergi ke sana... Suatu masa nanti, jika panjang umur kita pasti akan bertemu lagi.

Tuesday, July 28, 2009

Syeikh Abu Bakar Bermimpi


Sheikh Abu Bakar merupakan seorang ulamak terkenal di Kufah. Suatu hari beliau bermimpi bertemu Rasulullah. Baginda telah menyuruh beliau pergi ke sempadan Iran dan menemui seorang lelaki majusi bernama Bal'am. Mimpi yang sama berlaku lagi pada malam kedua. Kali ini, nabi meminta beliau meyampaikan salamnya pada Bal'am. Setelah berlaku mimpi yang sama sebanyak 3 kali, Syeikh Abu Bakar tidak dapat lagi bertangguh-tangguh.

Beliau segera berangkat menuju sempadan Iran. Kebetulan ada kafilah yang sedang menuju ke sana. Beliau menumpang kafilah itu. Setelah 10 hari melalui perjalanan, beliau pun sampai ke sana. Beliau segera mencari orang yang bernama Bal'am dengan bertanya-tanya kepada penduduk setempat. Akhirnya sampailah beliau hampir dengan rumah Bal'am. Beliau menyewa rumah berhadapan dengan rumah Saudagar Bal'am. Dalam tempoh 3 hari, beliau hanya memerhati dari dalam rumah apakah perbuatan Saudagar Bal'am itu yang menyebabkan Rasulullah berkirim salam. Tiada apa yang istimewa pada pemerhatiannya.

Kecewa dengan pemerhatiannya, beliau akhirnya bertemu sendiri dengan Bal'am. Beliau memperkenalkan diri " Saya adalah jiran Tuan Saudagar yang tinggal di sebelah sana, jika tiada masalah saya nak tanya apakah berbuatan Tuan yang istimewa dalam tempoh sebulan ini". Jawab Saudagar " Tentulah banyak, saya selalu buat jamuan dan menjemput kawan-kawan berpesta dan minum arak di sini". " Bukan itu yang saya maksudkan. Ada lagi tak perbuatan lain yang lebih istimewa" Tanya Syeikh Abu Bakar.

Saudagar Bal'am termenung sambil mengingat-ingat apa yang telah ia lakukan. Akhirnya ia berkata " Ya, ada. Saya ada seorang anak perempuan yang cantik dan ramai yang meminangnya tapi saya tak berkenan dengan semua lelaki itu. Akhirnya saya baut keputusan untuk mengahwininya. Bulan lepas saya mengadakan majlis perkawinan kami". " Bukan itu yang saya maksudkan" Kata Syeikh Abu Bakar dengan rasa jijik terhadap perbuatan Saudagar itu.
"Nanti dulu, saya belum habis cerita lagi, malam itu saya mahu tidur dengan anak saya itu. Tiba-tiba saya nampak bayang perempuan sedang keluar dari rumah saya lalu saya mengekorinya hingga sampai ke rumahnya. Rupa-rupanya ia adalah seorang wanita Islam. Di dalam pondok itu ada 3 orang kanak-kanak yang sedang menangis kelaparan. Saya rasa amat simpati melihat keadaan diri dan anak-anaknya". Lalu apa yang Tuan lakukan" Kata Syeikh dengan rasa tidak sabar mendengar apa yang diceritakan oleh Saudagar Bal'am itu.

"Si Ibu memujuk anak-anaknya dengan berkata bahawa dia tidak sanggup meminta makanan dari saya kerana bukan orang Islam. Dia menyuruh anak-anaknya bersabar dan menunggu hingga esok hari. Perlahan-lahan saya beredar dari situ dan balik ke rumah. Saya mengejutkan beberapa orang khadam saya dan meminta mereka menghantar makanan kepada wanita itu. Mulanya dia menolak tapi setelah saya pujuk berkali-kali barulah dia menerimanya. Saya juga telah memberikannya wang. Setelah itu saya pulang dengan rasa amat gembira kerana telah dapat menolong wanita dan anak-anaknya itu". Saudagar Bal'am menghabiskan ceritanya.
Syeikh Abu Bakar sangat terharu mendengar cerita itu. Ia lalu menerangkan siapa dirinya yang sebenar dan mengapa ia datang ke situ. Tak lupa juga dia menceritakan mimpinya bertemu Nabi menyampaikan salam daripada Rasulullah kepada Saudagar Bal'am.

Saudagar Bal'am sangat terkejut. "Betulkah begitu" Tanyanya. " Ye, takkan saya nak bohong setelah saya berpenat lelah datang dari jauh untuk ke sini. Sebab itu saya tanya apa amalan istimewa yang Tuan lakukan. Tidak syak lagi bahawa bantuan Tuan yang ikhlas itu menyebabkan Rasulullah berkirim salam pada Tuan".

Saudagar Bal'am menggenggam tangan Syeik Abu Bakar dengan erat. Air matanya berlinangan lalu berkata " Jika begitu, saya naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu Rasulullah". Syeikh Abu Bakar merasa sangat gembira. Ia lalu mengajar Saudagar mengucap syahadah dalam Bahasa Arab. Selepas mengucap syahadah dalam Bahasa Arab, ia memeluk Syeikh dengan begitu erat sekali. Kedua-duanya menangis kegembiraan.
Tiba-tiba pelukan Saudagar itu semakin longgar dan akhirnya terlepas. Cepat-cepat ia mengampu badan Saudagar dan ia dibaringkan. Disangkanya Saudagar Bal'am itu pengsan sahaja. Lalu dirasainya nadi Saudagar. Ia sungguh terkejut. Rupa-rupanya ia sudah tidak bernyawa lagi. Wajahnya sangat berseri-seri seperti sedang tersenyum.

Syeikh Abu Bakar memanggil beberapa orang Islam yang tinggal tidak jauh dari tempat itu dan menguruskan jenazah Saudagar Bal'am secara Islam. Esoknya ia pulang semula ke Iraq kerana tugasnya telah selesai. Beliau telah mengetahui apakah rahsia di sebalik mimpinya itu.

Thursday, July 16, 2009

Hafiz Termuda

Saya belajar di Al-Azhar cawangan Mansurah bermula pada Disember 1992 dan pulang pada Disember 1998. Masih saya ingat lagi, ketika cuti musim panas tahun 1993 saya telah mengikuti satu lawatan sekitar Kaherah melawat maqam-maqam terkenal.

Saya telah pergi ke satu kubur yang dimiliki oleh seorang anak kecil yang hebat. Anak itu bernama Asyraf Rifai yang dilahirkan pada tahun 1972. Sewaktu usianya 2 tahun, dia telah mula belajar membaca Al-Qur'an dan menghafaznya. Ketika berusia 3 tahun dia telah berjaya menghafaz hampir semua kandungan Qur'an. Manakala pada usia 4 tahun, Universiti Al-Azhar telah mengi'tiraf ia sebagai seorang hafiz yang termuda. Dan pada usia 4 tahun itu jugalah ia telah dijemput Allah menghadapnya. Allahu Rabbi, hebat sungguh ..... sedangkan aku, meningkat sekolah menengah baru nak khatam Qur'an.

Ashraf Rifai, hebat sungguh nama itu, sehebat dan semulia Tuannya yang kini adalah ahli syurga.................

Saturday, July 4, 2009

Kisah Anak Derhaka Mendapat Pembalasan Allah

Tersebutlah suatu kisah, seorang ibu berhati mulia, berpendidikan agama hingga ke luar negara dan mempelajari Islam dengan sempurna hingga akhirnya menjadi seorang muslimah yang berakhlak mulia dan menjaga keseluruhan adab dan kehidupan. Beliau telah berumahtangga dan mempunyai beberapa orang anak. Beliau mendidik anak-anak mengikut lunas-lunas agama dan disekolahkan di sekolah agama agar kesemua anak-anaknya dapat menjadi insan yang soleh dan solehah seterusnya menjariahkan saham pahala buat mereka setelah kematian mereka nanti.
Allah mentaqdirkan Si Suami dijemput Ilahi ketika anak-anak sedang membesar. Si Bongsu masih belum sampai ke tahap pra sekolah lagi. Maka Si Ibu bertungkus lumus menyambung tugas Si Suami membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan berhikmah.
Si Sulung baru lepas menghadapi peperiksaan SPM. Kegembiraan Si Ibu menunggu kejayaan SI Anak bertukar menjadi kesedihan demi kesedihan. Si Anak, sementara menunggu SPM mula bercampur dengan rakan-rakan sekampung dan di luar kampung yang kurang berakhlak sehingga anaknya terpengaruh.Satu demi satu ajaran Islam diabaikan. Si Ibu semakin tertekan, malu bercampur geram melihat sikap Si Anak yang mengaibkan dirinya di mata penduduk kampung dan rakan-rakan sekerja. Dengan ilmu yang ada di dada, beliau menasihati
Si Anak. Namun Si Anak semakin jauh...Sering membawa motor dengan laju bersama kawan-kawan, membawa kawan-kawan pulang ke rumah pada waktu ibu bekerja, sehingga kadang-kadang tin arak ditemui di luar rumah. Merokok tu jangan ditanyalah, memang dah jadi amalannya.
Suatu ketika Si Ibu berkata kepada salah seorang rakannya dalam keadaan yang amat sedih dan tertekan. " Saya malu diaibkan anak saya, kalau Allah mahu mengambil anaknya saya redho, daripada hidup hanya mencalit arang ke muka orang saya, biarlah Allah menghukumnya." Beberapa bulan kemudian, Si Anak terlibat dalam satu kemalangan ngeri yang meragut nyawanya. Dari mulutnya keluar buih, mungkin baru minum arak. Derita Si Ibu daripada terus dimalukan berahkhir sudah, namun kekecewaan melihat akhir hayat Si Anak Allah saja yang tahu. Dalam usia yang belum menjangkau 19 tahun, dia kembali sebelum sempat bertaubat dan beramal.
Islam mengajar kita, sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan beramal soleh/ah. Orang yang paling rugi ialah yang pendek umur tetapi mati sebagai orang yang menentang agama dan beramal buruk. Jika orang kafir adalah ahli neraka, maka orang Islam yang munafik dan jahat akan berada dalam neraka yang jauh lebih dahsyat, serta menjadi bahan bakar api neraka dan kekal selama-lamanya. Dan yang paling beruntung ialah kanak-kanak yang mati sebelum baligh tanpa mengira bangsa dan agama kerana mereka akan berada di raudhatul Jannah..........