Monday, May 17, 2010

Kemalangan Maut

Hari Ahad lepas 16 Mei 2010, entah mengapa suamiku beralih angin. Sudah 2 kali pergi memancing kat Pulau Indah. Tak pernah dalam sejarah, sepanjang perkahwinan kami, dia sebok nak memancing. Malam Isnin tu, dia nak pergi lagi bersama adik ipar dan 2 orang rakannya. Katanya, lewat malam karang baru balik kot. Elok lepas solat Isyak , dia pun keluar. Tinggallah aku bersama anak kami Rifaie.

Aku tidur, sedar-sedar dah pukul lima pagi. Suamiku baru pulang memancing. Adik Ipar suamiku ( birasku ) ada di luar bersama 2 orang anaknya. 2 orang anaknya dibawa untuk menemaniku katanya. Sebenarnya aku tak minta pun, lagipun aku dah biasa berdua di rumah waktu malam.

Sewaktu bersarapan, abang menceritakan pengalaman ngerinya malam tadi. Katanya, sewaktu kereta yang mereka naiki hampir sampai ke Pulau Indah, mereka semua melihat sebuah treler yang dipandu sangat laju. Elok treler itu berpapasan dengan mereka, tiba-tiba lori itu melanggar sebuah motosikal seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk bekerja shif malam. Lelaki itu melambung dan dilanggar bahagian kepalanya. Sebahagian kepala lelaki itu hancur di lenyek tayar treler tersebut. Namun, pemandu treler bagaikan dikejar-kejar, tetap meneruskan perjalanannya tanpa menghiraukan apa yang dilakukannya.

Abang bersama 3 yang lain segera turun dari kereta mereka memberikan bantuan kecemasan. Malang sekali, lelaki yang dilanggar itu, langsung tidak bergerak-gerak. Mungkin sudah meninggal dunia. Abang segera menelefon 999 untuk meminta bantuan. Adik Ipar mengambil lampu suluh dan mengarah kenderaan yang lalu lalang untuk ketengah sedikit bagi memberi laluan bantuan kecemasan. seorang dari mereka membuka dompet lelaki berkenaan untuk mengenal identitinya. Mohd Zaki nama lelaki tersebut.

Tidak lama kemudian datang pihak peronda lebuh raya, disusuli oleh polis dan ambulan. Melihat semua yang perlu telah sampai, mereka memberi sedikit keterangan sebelum meneruskan perjalanan memancing di Pulau Indah.