Thursday, November 26, 2009

Sesak Kerana Lampu Isyarat

Setiap kali menjelang raya, semua orang ingin pulang ke kampung. Aku, walaupun sudah tidak punyai ibu bapa, namun masih punya keluarga mentua dan adik-beradik. Jadi, sebagaimana orang lain, setiap kali menjelang raya puasa atau raya korban, aku pasti tidak melepaskan peluang balik ke kampung.

Malam tadi, aku, suami dan 2 orang anak buah pulang ke kampung lebih kurang jam 9 malam. aku tinggal di Seksyen 36 Shah Alam dan haluan kami ke Sabak Bernam. Aku dan suami dari daerah yang sama. Aku di Batu 38 dan suamiku di Sungai Air Tawar. Sepanjang aku bermastautin di Shah Alam, biasanya perjalanan kami mengambil masa 2 setengah jam. Pernah sekali, kami sampai ke kampung mengambil masa 2 jam sahaja.

Jalan mula sesak setibanya kami di Tol Bukit Raja. Kami terus tersangkut dalam kesesakan lalulintas sehala. Laluan setentang nampaknya lengang. Mungkin kerana tidak ramai orang yang mahu ke bandar pada malam raya ini. Setiap kali tiba di simpang lampu isyarat, lampu hijau untuk laluan kami terlalu singkat, sedangkan tiga laluan yang lain agak lama walaupun kurang kenderaan. Begitulah yang berlaku hampir di semua simpang lampu isyarat.

Apa yang menjengkelkan ialah, jalan begitu lapang dan lengang selepas kami melalui lampu isyarat. Keadaan kembali sesak bila tiba di lampu isyarat berikutnya. Tiada polis trafik yang mengawal lalulintas langsung. Polis trafik hanya menjaga lampu isyarat Sekinchan satu-satunya. Ya, satu-satunya. Aku kira, inilah kali pertama aku bertemu kesesakan yang begitu teruk, hanya kerana lampu isyarat. Mungkinkah ada sesuatu yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebabkan keadaan ini berlaku.

Akhirnya kami sampai juga ke kampung pada pukul 2.30 malam. Perjalanan 120 km memakan masa lebih 5 jam. Kira-kiranya perjalanan kami pada malam tadi hanya 24 km sejam. Macam naik basikal pulak. Penat, bosan dan tertekan dengan keadaan tersebut. Ya, apa tidaknya. Aku pasti, anda semua pun akan rasa begitu apabila menghadapi situasi yang sama.

Lampu isyarat hanya ciptaan manusia. Ia dicipta untuk memudahkan urusan manusia, tetapi seringkali terjadi, apa yang dijangka memudahkan manusia, ia jugalah yang akan menyusahkan manusia itu sendiri nantinya.

Tuesday, November 24, 2009

Paku Karat Bersemadi Di Dalam Perut

Naysmith Robert dilahirkan dalam keluarga ternama di Scotland. Ia memiliki kebolehan luar biasa. Dia gemar memakan kaca, tembikar, paku dan lain-lain objek keras. Kebolehannya ini membawa dia menjelajah banyak negara untuk mempertontonkan kelebihannya kepada orang ramai.

Hidupnya semakin mewah. Bagaimanapun, pada usia 34 tahun, Naysmith menghentikan perbuatannya itu kerana kesihatannya mula terjejas. Gaya hidupnya berubah apabila dia terpaksa menjadi penggilap kasut dan akhirnya dia menjadi papa. Hidupnya berakhir di katil hospital. Semasa di hospital, Naysmith merahsiakan kerjaya silamnya daripada pengetahuan doktor yang merawatnya.

Keadaannya semakin teruk, anggota badannya bengkak-bengkak. Doktor terpaksa memecahkan kulitnya untuk mengeluarkan nanah yang terkumpul. Doktor yang merawatnya terkejut apabila dia menemui sebatang paku karat turut keluar barsama nanah dan darah. Kesihatan Naysmith sedikit pulih. Tetapi dia akhirnya meninggal pada musim panas 1906.

Daripada post mortem yang dijalankan, doktor dapat mengeluarkan 30 batang paku, puluhan ketul batu dan beberapa batang jarum yang terlekat pada hati, buah pinggang dan ususnya. Anehnya, kematian Naysmith bukan kerana objek itu tetapi kerana penyakit gastrik yang dihidapinya.

Dipanah Petir Hingga Ke Liang Lahad

Major Summerford mungkin dianggap mangsa petir yang paling hebat. Sepanjang hayatnya, dia telah dipanah petir berkali-kali.

Kali pertama dia dipanah petir ketika menyertai peperangan di Flanders pada tahun 1918. Summerford ketika itu sedang mengetuai satu pasukan tentera di Kanada. Walaupun kuda yang ditunggangnya maut, namun dia hanya mengalami cedera ringan sahaja. Enam tahun kemudian, ketika sedang memancing di kampung halamannya di Vancuover, sekali lagi lagi dia dipanah petir. Kali ini nasibnya kurang baik. Panahan petir itu menyebabkan bahagian pinggang ke bawah menjadi lumpuh.

Entah apa malang Summerford, genap enam tahun selepas kejadian kedua, ketika dia sedang berehat diberanda rumahnya, sekali lagi dia dipanah petir. Ketika itu hujan turun renyai-renyai.
Kejadian ketiga ini menyebabkan seluruh tubuhnya menjadi lumpuh. Summerford terlantar beberapa lama sebelum dia meninggal pada tahun 1932.

Malang lagi nasib Summerford, setelah dua tahun meninggal dunia, sekali lagi petir memanah tanah perkuburan Vancouver tempat Summerford disemadikan. Panahan itu menyebabkan sebahagian binaan tanah perkuburan itu runtuh.

Sunday, November 22, 2009

Khalid Sepupu Sayyidina Uthman memeluk Islam


Suatu hari, Abu Uhaihah @ nama sebenarnta Said bin Al-Ass ( Saudara lelaki Affan ) duduk-duduk dalam masjidil haram bersama sebahagian daripada 10 anak-anaknya. Khalid anak bongsunya turut serta. Ketika itu, nabi Muhammad sedang menyeru orang Quraisy kepada Islam. Semua yang berada dalam masjidil haram turut mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad.

Pada malam itu, Khalid tidak dapat tidur kerana memikirkan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad. Lama dia terkelip-kelip di atas katilnya. Akhirnya dia tertidur juga. Dalam tidurnya dia bermimpi, melihat sebuah lubang api yang sangat besar dengan api yang sedang bergejolak tinggi. Lidah api yang sangat besar itu seakan mahu menjilat dirinya. Dalam kengerian melihat api itu, tiba-tiba dia melihat ayahnya datang dan mahu menolaknya masuk ke dalam lubang api itu. Khalid merasa sangat takut. Dia mahu lari tetapi tidak berdaya, kakinya seakan melekat di situ. Dia tidak berdaya menyelamatkan diri daripada huluran tangan ayahnya yang mahu menangkap dan memasukkannya ke dalam api yang sedang bergejolak itu.

Dalam keadaan dia bergelut dengan ayahnya itu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang amat indah wajahnya dan sangat dikenalinya. Lelaki itu memegang tangannya dan menarik dirinya menjauhi api tersebut. Dia melihat, lelaki yang kacak dan telah menyelamatkannya itu adalah Muhammad bin Abdullah yang mendakwa menerima wahyu dan sedang menyebarkannya di kota Mekah pada saat itu.

Sebaik terjaga, Khalid terduduk lama. Keesokan harinya dia mencari Nabi Muhammad dan menemuinya di rumah Arqam bin Abi Arqam. Setelah berbincang beberapa perkara, akhirnya dia mengucapkan lafaz syahadah dihadapan Nabi.

Wednesday, November 18, 2009