Thursday, November 26, 2009

Sesak Kerana Lampu Isyarat

Setiap kali menjelang raya, semua orang ingin pulang ke kampung. Aku, walaupun sudah tidak punyai ibu bapa, namun masih punya keluarga mentua dan adik-beradik. Jadi, sebagaimana orang lain, setiap kali menjelang raya puasa atau raya korban, aku pasti tidak melepaskan peluang balik ke kampung.

Malam tadi, aku, suami dan 2 orang anak buah pulang ke kampung lebih kurang jam 9 malam. aku tinggal di Seksyen 36 Shah Alam dan haluan kami ke Sabak Bernam. Aku dan suami dari daerah yang sama. Aku di Batu 38 dan suamiku di Sungai Air Tawar. Sepanjang aku bermastautin di Shah Alam, biasanya perjalanan kami mengambil masa 2 setengah jam. Pernah sekali, kami sampai ke kampung mengambil masa 2 jam sahaja.

Jalan mula sesak setibanya kami di Tol Bukit Raja. Kami terus tersangkut dalam kesesakan lalulintas sehala. Laluan setentang nampaknya lengang. Mungkin kerana tidak ramai orang yang mahu ke bandar pada malam raya ini. Setiap kali tiba di simpang lampu isyarat, lampu hijau untuk laluan kami terlalu singkat, sedangkan tiga laluan yang lain agak lama walaupun kurang kenderaan. Begitulah yang berlaku hampir di semua simpang lampu isyarat.

Apa yang menjengkelkan ialah, jalan begitu lapang dan lengang selepas kami melalui lampu isyarat. Keadaan kembali sesak bila tiba di lampu isyarat berikutnya. Tiada polis trafik yang mengawal lalulintas langsung. Polis trafik hanya menjaga lampu isyarat Sekinchan satu-satunya. Ya, satu-satunya. Aku kira, inilah kali pertama aku bertemu kesesakan yang begitu teruk, hanya kerana lampu isyarat. Mungkinkah ada sesuatu yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebabkan keadaan ini berlaku.

Akhirnya kami sampai juga ke kampung pada pukul 2.30 malam. Perjalanan 120 km memakan masa lebih 5 jam. Kira-kiranya perjalanan kami pada malam tadi hanya 24 km sejam. Macam naik basikal pulak. Penat, bosan dan tertekan dengan keadaan tersebut. Ya, apa tidaknya. Aku pasti, anda semua pun akan rasa begitu apabila menghadapi situasi yang sama.

Lampu isyarat hanya ciptaan manusia. Ia dicipta untuk memudahkan urusan manusia, tetapi seringkali terjadi, apa yang dijangka memudahkan manusia, ia jugalah yang akan menyusahkan manusia itu sendiri nantinya.

No comments: