Friday, July 19, 2013

BICARA KUASA HARTA PUSAKA

Ayah saya telah meninggal dunia pada 29.11.1989. Beliau meninggalkan 3 orang isteri dan 26 orang anak. Emak saya, isteri ketiga meninggal dunia pada 03.01.2007 dan seorang anak isteri pertama telah meninggal dunia pada 28.01.2008.

Pusaka kami dinamakan pusaka kematian 3 lapis. Ayah mempunyai 29 geran kebun. 5 geran telah diberi secara hibah kepada 7 orang anak isteri pertama. Isteri kedua dan 2 daripada anak-anaknya telah diberi 5 geran. Manakala saya, hanya abang kedua sahaja mendapat 1 geran. Baki 18 geran sebenarnya termasuk dalam faraid.

Isteri pertama dan 7 orang anaknya telah menguruskan 4 geran tanah di pejabat pusaka dengan mengaku ayah mempunyai seorang isteri dan 7 anak. Pada tahun 2000, 4 geran ini telah sah bertukar kepada nama mereka anak beranak.

Saya mengambil alih urusn pusaka mulai Julai 2011 yang lalu. Pada 09.07.2013 pejabat tanah Sabak Bernam telah memanggil kami semua pewaris Hj Mohd Hashim untuk bicara kuasa. Hasilnya, hakim memberi tempoh 6 bulan kepada isteri tua untuk memfailkan kes tuntutan harta sepencarian. Isteri kedua pula diberi peluang membawa surat wasiat arwah mengenai salah satu tanah yang diwasiatkan kepadanya melalui surat ke mahkamah syariah untuk memastikan wasiat itu sah atau batal. Saya tahu, wasiat kepada orang yang memang dapat pusaka adalah tidak sah. Ia hanya boleh digunapakai jika semua pewaris bersetuju. Tapi siapalah saya, mereka memilih mahkamah syariah untuk memutuskan perkara ini....

Saya akan menunggu untuk tempoh 6 bulan lebih kurang. Sekiranya mereka gagal menguruskan urusan tuntutan harta sepencarian dan wasiat, maka semua harta yang berbaki akn difaraid terus kepada semua penerima faraid sebagaimana yang tercatat dalam sijil faraid yang telah saya perolehi pada bulan Ogos tahun 2012.

Ya Allah permudahkan urusan kami ini, Ya Allah Rahmati ayah kami dan semoga ia bahagia di alam baqa' sana....