Friday, October 23, 2009

Jiran-jiranku

Sewaktu kecilku, aku tinggal di Tebuk Hj Abdan. Rumahku berada di Jalan Hj Idris. Di kiri rumahku ialah rumah isteri kedua ayahku iaitu Sumarmi. Mak Sumarmi mempunyai 11 orang anak hasil perkahwinan dengan ayahku. 5 lelaki dan 6 orang perempuan. Ibuku Siti Bayah dan adik-beradikku 8 orang. 5 lelaki dan 3 perempuan. Manakala jiran di kanan rumahku adalah sebuah keluarga cina yang menyewa tanah ayah. Tan Tien Oun adalah ketua keluarga. Dia mempunyai 7 orang anak.

Apa yang menarik mengenai kami semua ialah anak pertama hingga kelapan/ ketujuh adalah sebaya. Kami dilahirkan antara tahun 1969 hingga 1981. Bayangkan betapa meriah dan seronoknya zaman kanak-kanakku. Apa sahaja permainan, kami sentiasa cukup ahli. Kami sememangnya anak-anak kampung yang lasak bermain. Jalan dan halaman kami tidak ditumbuhi rumput kerana kami rajin memijaknya. Tambahan pula, banyak pokok nipah di sekeliling rumah-rumah kami. ayah tidak membenarkan nipah-nipah itu ditebang kecuali jika mahu membuat atap.

Anak-anak cina jiranku bernama Tan Ah Chu, Tan Kim Seng, Tan Siew Hong, Tan Lai Chu, Tan Siew Tin, Tan Bee Ling dan Tan Kim Tek. Tan Siew Hong sebaya denganku. Anak Mak Sumarmi yang sebaya denganku ialah Siti Mutmainah. Kami bertiga adalah anak ketiga dalam keluarga.

Tan Tien Oun membuka perniagaan membeli buah koko daripada penduduk kampungku. Selalunya bila koko beliannya banyak, dia akan meminta tolong pada kami membantu menjemur koko pada waktu pagi dan mengangkat koko pada waktu petang. Kami akan diberi upah atas kerja itu. Kadang-kadang dalam sehari dapatlah aku 50 sen hingga seringgit. walaupun hanya lima puluh sen, tetapi awal tahun 80-an, nilainya tinggi. Aku belanja sekolah pun hanya dengan duit 20 sen. Kadang-kadang tak berbelanja langsung apabila ibu tidak mampu memberi duit belanja sekolah. Sebab itulah aku malas pergi sekolah agama. Ibu tidak dapat memberi wang belanja untukku jika aku sekolah petang.

Apa yang menarik mengenai keluarga cina jiranku ini ialah semua anak-anaknya pandai berbahasa Jawa. Kami memang berkomunikasi menggunakan bahasa jawa, bukan Bahasa Melayu. Ibu kata sewaktu abang sulungku kecil, ia selalu juga bermain dengan anak cina yang sulung. Abang cakap jawa, Tan Ah Chu bercakap cina. Lama-lama anak cina tu pandai cakap Jawa, kami cuma tahu sedikit sahaja berbahasa cina.

Biasanya, kami anak-anak daripada 3 buah rumah mempunyai permainan semasa. Permainan yang sering kami mainkan ialah baling botol, baling kasut, baling tin, galah panjang, rondas dan mandi dalam parit di depan rumah. Ada ketikanya, kami mandi parit sehingga parit itu keruh dan berlekuk kami bermain tanah ditebingnya, ayah akan menghambat kami naik menggunakan pelepah kelapa. Mencicit kami melarikan diri dari kena hambat...

Dua minggu selepas aku selesai menghadapi peperiksaan STPM,aku pergi ke Mesir iaitu pada pertengahan Disember 1992. Ketika aku berada di Mesir, keluarga cina ini telah berpindah ke pekan Sabak bernam. Selepas aku balik ke Malaysia pada tahun 1998, adalah beberapa kali keluarga cina ini datang ke rumahku pada hari raya. Kali terakhir aku bertemu keluarga ini adalah tiga tahun yang lalu. Nampaknya anak-anaknya yang kutemui masih boleh berbahasa Jawa.Seperti keluargaku, hampir semua anak-anak cina jiranku dulu telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.

No comments: