Tuesday, October 20, 2009

Pemergian Ibu

Hari itu, 3 Januari 2007, aku dan suami bersegera pulang ke kampung jam 11 malam. Tadi adik menelefonku. "Kak baliklah cepat, mak macam dah tak ada je".

Sepanjang perjalanan, tak berhenti airmataku mengalir. Baru saja rasanya aku meninggalkan ibu. Ketika aku pulang ke rumahku minggu lalu, aku meminta keampunan pada ibu. Ibu memelukku dan mengatakan dia telah memaafkan dosa semua anak-anaknya. Ibu juga memeluk suamiku dan berpesan agar suamiku menjagaku dengan baik.

Ibu dimasukkan ke wad di HBTAR pertengahan Disember kerana komplikasi penyakit hepatitis, kencing manis dan darah tingginya. Seminggu kemudian ibu dibenarkan pulang ketika keadaan sangat tenat. Rupanya, bila berada di rumah, ibu semakin sihat dan boleh berjalan. Ramai orang menziarahi ibu dan ibu sempat meminta maaf pada semua orang. Bekas menantu ibu juga dapat datang bersama 2 orang cucu ibu. Ibu teringin benar melihat cucu ibu yang baru dilahirkan 2 bulan yang lalu.

Ibu! seakan tak sempat aku berjasa padamu Ibu. Kaulah ibu yang telah bersusah payah membesarkan kami 8 beradik sejak pemergian ayah hampir 2 dekad yang lalu. Kaulah ibu sejati yang mendidik kami dengan nilai akhlak dan keimanan.

Sampai di kampung, jam menunjukkan jam 12.30 malam. Seingatku, itulah kali pertama dan terakhir aku boleh sampai ke kampung secepat itu. Selalunya paling awal 2 jam. 2 orang makcikku dan 2 orang adikku sudah berada di rumah. Ku lihat, wajah ibu seakan tersenyum menyambutku pulang meskipun matanya telah terpejam rapat. Kata abang " Ibu pergi dalam keadaan sangat tenang tidak lama selepas selesai abang suapkan makan malam". Malam itu juga, kami selesai memandikan ibu sekitar jam 3 pagi. Kami terus bacakan Yasin untuk ibu secara bertukar ganti.

Esoknya, majlis pengkebumian selesai pada jam 11.30 pagi. Ketika penggali kubur menimbunkan tanah, ia menginjak-injak tanah di atas perkuburan. Anak buahku Afifi yang berusia 4 tahun bertanya kepada ibunya iaitu adikku " Ibu, kenapa orang tu pijak-pijak tanah atas Embah, nanti kalau ibu meninggal, Pipi pun kena buat macam tu jugakke?.

Seperti sewaktu kematian nenek pada tahun 2000 dan adik kepada ibu pada tahun 2004 ( yang dikebumikan di tanah perkuburan yang sama ), kami menyambung membaca Yasin di makam bersama semua ahli keluarga. Ya Allah! pastinya ibu gembira disisimu kerana ibu adalah seorang guru Al-Qur'an. Ibu giat belajar tajuid dan mengajarkan pada muslimat di kampung dan Pekan Sabak Bernam sejak lebih 10 tahun yang lalu.

No comments: