Tuesday, October 20, 2009

Mengapa Harta Pusaka Lambat Dibahagikan


Waris biasanya melambatkan pembahagian harta pusaka kerana salah satu sebab yang berikut :

1. Salah tanggapan.
Sebahagian masyarakat merasa berdosa jika harta segera dibahagikan kerana beranggapan
" Tanah kubur masih merah lagi". Ini adalah salah dengan konsep Islam kerana Sayyidina
Umar pernah memadamkan pelita seorang sahabatnya yang telah mati kerana dikhuatiri
minyak pelita itu habis, kerana minyak itu milik waris dan beliau masih belum meminta
izin daripada waris-waris untuk menggunakannya.

2. Terlalu bersopan.
Masyarakat kita terkenal dengan sifat bersopan santunnya. mereka berhati-hati agar
masyarakat tidak mengata sesuatu yang tidak baik pada mereka. Mengenai harta pusaka,
mereka bimbang dikata orang sebagai tamakkan harta atau dipandang serong oleh ahli
keluarga mereka sendiri.

3. Tiada pengetahuan.
Sebahagian pewaris tidak mengetahui secara mendalam mengenai pengurusan dan
pembahagian harta pusaka. Mereka tidak tahu bagaimana cara menguruskan pusaka, siapa
yang patut mereka rujuk, berapa bahagian setiap individu yang ditinggalkan, siapa golongan
yang layak menerima harta pusaka tersebut dan ditambah lagi jika mereka tidak mempunyai
wang simpanan langsung. Mereka beranggapan, apa-apa urusan tanah dan harta, ia mesti
dikenakan bayaran sedangkan mereka tidak mempunyai wang.

4. Sikap tidak apa @ tidak prihatin.
Sesetengah masyarakat pula menganggap menyelesaikan masalah pusaka sebagai suatu
urusan remeh temeh. Tidak mengapa jika ia lambat diuruskan. Mereka hanya mahu
menguruskannya jika ada yang menguntungkan mereka seperti harta itu hendak dijual,
digadai atau diambil oleh kerajaan dan mereka mendapat wang bayaran atau pampasannya.

5. Menaruh harapan pada anak sulung.
Sebahagian masyarakat pula meletakkan tanggungjawab menguruskan pusaka pada anak
sulung sahaja. Sedangkan anak sulung kadang-kadang tidak tahu apa yang harus
dilakukannya. Sepatutnya waris perlu memilih siapa dikalangan mereka yang paling
bertanggungjawab dan mampu menguruskannya dengan adil mengikut Islam.

6. Tidak mahu harta berpindah kepada orang lain.
Sebahagian waris pula malas menguruskan harta pusaka kerana tidak mahu menyusahkan
diri sendiri dan selesa dengan keadaan sedia ada. Mereka ini biasanya duduk di atas tanah si
mati. Mereka bimbang jika ia diuruskan, tanah yang mereka duduki akan berpindah kepada
waris yang lain pula. Jadi, untuk tidak berlaku demikian, eloklah tanah itu terus kekal dengan
nama si mati.

7. Pertelingkahan dalam kalangan waris.
Pertelingkahan dalam kalangan waris juga menjadi punca ia lambat diuruskan. Hal begini,
biasanya berlaku jika si mati meninggalkan waris yang ramai. Isteri lebih seorang dan
bilangan anak yang sangat ramai. Keadaan ini, bertambah sukar jika semua waris itu kurang
memberi kerjasama, duduk berjauhan.
Akibat daripada perkara ini, pusaka itu tidak dibahagikan dan lebih malang lagi jika yang
tamak terus menguasai harta itu tanpa kerelaan semua waris yang lain. Ia tinggal di atas
tanah milik si mati, memakan hasil tanah itu, sedangkan waris lain tidak mendapat apa-apa
manfaat dari harta si mati itu selagi ia belum dibahagikan.

No comments: