Tuesday, July 28, 2009

Syeikh Abu Bakar Bermimpi


Sheikh Abu Bakar merupakan seorang ulamak terkenal di Kufah. Suatu hari beliau bermimpi bertemu Rasulullah. Baginda telah menyuruh beliau pergi ke sempadan Iran dan menemui seorang lelaki majusi bernama Bal'am. Mimpi yang sama berlaku lagi pada malam kedua. Kali ini, nabi meminta beliau meyampaikan salamnya pada Bal'am. Setelah berlaku mimpi yang sama sebanyak 3 kali, Syeikh Abu Bakar tidak dapat lagi bertangguh-tangguh.

Beliau segera berangkat menuju sempadan Iran. Kebetulan ada kafilah yang sedang menuju ke sana. Beliau menumpang kafilah itu. Setelah 10 hari melalui perjalanan, beliau pun sampai ke sana. Beliau segera mencari orang yang bernama Bal'am dengan bertanya-tanya kepada penduduk setempat. Akhirnya sampailah beliau hampir dengan rumah Bal'am. Beliau menyewa rumah berhadapan dengan rumah Saudagar Bal'am. Dalam tempoh 3 hari, beliau hanya memerhati dari dalam rumah apakah perbuatan Saudagar Bal'am itu yang menyebabkan Rasulullah berkirim salam. Tiada apa yang istimewa pada pemerhatiannya.

Kecewa dengan pemerhatiannya, beliau akhirnya bertemu sendiri dengan Bal'am. Beliau memperkenalkan diri " Saya adalah jiran Tuan Saudagar yang tinggal di sebelah sana, jika tiada masalah saya nak tanya apakah berbuatan Tuan yang istimewa dalam tempoh sebulan ini". Jawab Saudagar " Tentulah banyak, saya selalu buat jamuan dan menjemput kawan-kawan berpesta dan minum arak di sini". " Bukan itu yang saya maksudkan. Ada lagi tak perbuatan lain yang lebih istimewa" Tanya Syeikh Abu Bakar.

Saudagar Bal'am termenung sambil mengingat-ingat apa yang telah ia lakukan. Akhirnya ia berkata " Ya, ada. Saya ada seorang anak perempuan yang cantik dan ramai yang meminangnya tapi saya tak berkenan dengan semua lelaki itu. Akhirnya saya baut keputusan untuk mengahwininya. Bulan lepas saya mengadakan majlis perkawinan kami". " Bukan itu yang saya maksudkan" Kata Syeikh Abu Bakar dengan rasa jijik terhadap perbuatan Saudagar itu.
"Nanti dulu, saya belum habis cerita lagi, malam itu saya mahu tidur dengan anak saya itu. Tiba-tiba saya nampak bayang perempuan sedang keluar dari rumah saya lalu saya mengekorinya hingga sampai ke rumahnya. Rupa-rupanya ia adalah seorang wanita Islam. Di dalam pondok itu ada 3 orang kanak-kanak yang sedang menangis kelaparan. Saya rasa amat simpati melihat keadaan diri dan anak-anaknya". Lalu apa yang Tuan lakukan" Kata Syeikh dengan rasa tidak sabar mendengar apa yang diceritakan oleh Saudagar Bal'am itu.

"Si Ibu memujuk anak-anaknya dengan berkata bahawa dia tidak sanggup meminta makanan dari saya kerana bukan orang Islam. Dia menyuruh anak-anaknya bersabar dan menunggu hingga esok hari. Perlahan-lahan saya beredar dari situ dan balik ke rumah. Saya mengejutkan beberapa orang khadam saya dan meminta mereka menghantar makanan kepada wanita itu. Mulanya dia menolak tapi setelah saya pujuk berkali-kali barulah dia menerimanya. Saya juga telah memberikannya wang. Setelah itu saya pulang dengan rasa amat gembira kerana telah dapat menolong wanita dan anak-anaknya itu". Saudagar Bal'am menghabiskan ceritanya.
Syeikh Abu Bakar sangat terharu mendengar cerita itu. Ia lalu menerangkan siapa dirinya yang sebenar dan mengapa ia datang ke situ. Tak lupa juga dia menceritakan mimpinya bertemu Nabi menyampaikan salam daripada Rasulullah kepada Saudagar Bal'am.

Saudagar Bal'am sangat terkejut. "Betulkah begitu" Tanyanya. " Ye, takkan saya nak bohong setelah saya berpenat lelah datang dari jauh untuk ke sini. Sebab itu saya tanya apa amalan istimewa yang Tuan lakukan. Tidak syak lagi bahawa bantuan Tuan yang ikhlas itu menyebabkan Rasulullah berkirim salam pada Tuan".

Saudagar Bal'am menggenggam tangan Syeik Abu Bakar dengan erat. Air matanya berlinangan lalu berkata " Jika begitu, saya naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu Rasulullah". Syeikh Abu Bakar merasa sangat gembira. Ia lalu mengajar Saudagar mengucap syahadah dalam Bahasa Arab. Selepas mengucap syahadah dalam Bahasa Arab, ia memeluk Syeikh dengan begitu erat sekali. Kedua-duanya menangis kegembiraan.
Tiba-tiba pelukan Saudagar itu semakin longgar dan akhirnya terlepas. Cepat-cepat ia mengampu badan Saudagar dan ia dibaringkan. Disangkanya Saudagar Bal'am itu pengsan sahaja. Lalu dirasainya nadi Saudagar. Ia sungguh terkejut. Rupa-rupanya ia sudah tidak bernyawa lagi. Wajahnya sangat berseri-seri seperti sedang tersenyum.

Syeikh Abu Bakar memanggil beberapa orang Islam yang tinggal tidak jauh dari tempat itu dan menguruskan jenazah Saudagar Bal'am secara Islam. Esoknya ia pulang semula ke Iraq kerana tugasnya telah selesai. Beliau telah mengetahui apakah rahsia di sebalik mimpinya itu.

No comments: