Monday, October 17, 2011

Pengalaman Menggunakan Komputer

Aku mula belajar menggunakan komputer semasa aku di tahun tiga ketika berada di Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah iaitu pada tahun 1996. Kebetulan rakan sebilikku Zarina Kasbon membeli satu set peralatan komputer. Saya menumpang belajar menaip dan membuat kertas kerja.

Pada tahun 2001, selepas aku berkahwin dan tinggal di Bukit Naga, Shah Alam, aku diterima masuk ke Kursus Perguruan Lepasan Ijazah - Kursus Dalam Cuti di Maktab Perguruan Islam Bangi. Ketika itu, aku membeli satu set komputer meja untuk memudahkan aku membuat tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Suamiku mengeluarkan wang KWSPnya untuk membeli komputer ini.

Selepas aku balik dari Mesir pada Disember 1998, aku bekerja sebagai tukang jahit dan guru ganti. Kerja menjadi guru ganti yang terlalu lama menyebabkan aku agak bosan. Yelah, kita dah sayang pelajar kita, tiba-tiba kita kena berhenti apabila guru asal sudah habis tempoh bersalin atau balik dari mengerjakan haji. Begitulah aku, sehingga lebih 20 kali menjadi guru ganti. Sekolah yang pernah aku jadi guru ganti ialah Sek Keb Sri Sekinchan, SMK Hutan Melintang, Sek Menengah Agama Sungai Bertih, SMK Kg Jawa, SMK Jalan Kebun dan SRA Bukit Naga.

Permohonanku untuk menjadi guru ke JAIS dan Kementerian Pendidikan, nampaknya belum juga membuahkan hasil... Aku memutuskan untuk menjadi tukang jahit sahaja selepas mengganti guru BM yang bersalin di SAMT Sultan Hisamudin pada awal tahun 2006. Menjadi tukang jahit, bagus juga sebab kita adalah bos kepada diri kita sendiri. Walaupun hanya duduk dan goyang kaki, kerja ini kadang-kadang membosankan terutama apabila menjelang raya. Orang memaksa-maksa agar aku mengambil upah menjahit baju mereka. selalunya sepanjang Ramadhan aku kena siapkan kira-kira 130 pasang baju pelbagai saiz dan patern. Baju melayu, baju kurung, jubah, kurta dan pakaian kanak-kanak. Aku menjahit dengan dibantu oleh 2 orang adik sebapaku.

Pada Oktober 2007, aku ditawarkan mengajar di SAMT Hisamudin. Maka bermulalah kerjayaku sebagai guru sepenuhnya. Aku masih lagi menggunakan komputer yang aku beli pada tahun 2001. Ketika itu, guru-guru sudah mula memiliki komputer bimbit. Sebagai guru, banyak kerja yang perlu aku lakukan di rumah atau di sekolah menggunakan komputer. Terutamanya untuk membuat soalan peperiksaan.

Pada Januari 2009, aku membeli sebuah laptop jenama Acer, model Aspire 4730z dengan harga RM 1900. Aku juga membeli printer yang baru jenama Brother berharga RM 250. Hal ini kerana, printer terdahulu agak lembab dan mahal cattrigenya. Sekotak dakwat berharga RM 115. Sedangkan sebelum tu aku membelinya dengan harga RM 70. Memikirkan aku nak pakai untuk jangka masa lama dengan penjimatan kos dakwat, tulah aku beli yang baru dengan mengubahsuai dakwat ( bukan aku buat, tapi penjual komputer tulah) agar boleh diisi sendiri.
Aku juga membeli CPU dan printer untuk kegunaan pelajar asrama pada tahun 2010. Barang yang lain semuanya kuambil dari komputer lamaku kerana ia sudah tidak digunakan lagi. Aku letakkan set komputer ini di bilik warden aspuri. Pada akhir tahun lalu, apabila dakwat sudah habis, aku meminta pelajar menambah datwat hitam. Sedih dan malang sungguh, rupanya pelajar tersebut tak reti, tapi bercakap macam pandai.

Dia telah memasukkan dakwat hitam ke dalam cattrige berwarna. Akibatnya, semua cattrige terpaksa dibuang dan aku terpaksa membeli cattrige yang baru dengan harga RM 130. Ketika membeli cattrige itu, aku minta penjual tu buat ubah suai dakwat yang diluar ( seperti dalam gambar ). Baru-baru ini, pelajar mendakwa wayar print tercabut dan mereka sudah pun memasangnya semula.

Tidak lama kemudian, printer tersebut rosak. Aku hantar ke kedai. Malang sekali lagi, rupa-rupanya pelajar pasang wayar dakwat kuning ke cattrige hitam dan yang lain-lain pun salah juga. Akibatnya, sekali lagi cattrige terpaksa ditukar dengan kos RM 130 juga... Aduhai anak muridku, janganlah suka memandai-mandai jika antunna ti mengerti.

No comments: