Sunday, October 25, 2009

Saturday, October 24, 2009

Kursus LADAP SAMTSH Hisamuddin



Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan dan jamuan akhir tahun guru dan kakitangan SAMTS Hisamuddin anjuran Unit Perkembangan / Kebajikan Guru telah diadakan di Bilik Seminar Diamond 2, tingkat 7, Hotel Gold Course, Klang.

Seramai 64 orang guru dan kakitangan telah dapat menghadirkan diri dalam kursus yang diadakan dari jam 7 pagi hingga 6 petang ini. Sesi pagi dimulakan dengan Ceramah Pengurusan P & P Berkesan telah disampaikan oleh Encik Zainuddin bin Othman. Selepas rehat, pada jam 10.45 pagi Ceramah kedua pula telah disampaikan oleh Encik Saibudin bin Hj Ahmad dengan tajuk Pengurusan Disiplin Pelajar dan Pembangunan Profesional Guru.

Majlis berehat untuk makan, sesi penyampaian hadiah dan solat pada jam 1 tengah hari hingga jam 2.45 petang. Seterusnya, majlis disambung pula dengan Ceramah Pengurusan Aset Mudah Alih oleh Encik Mohd Tahir bin Mohd Ali selaku ketua kerani SAMTSH. Penyampaian beliau bersahaja dan sangat menarik menjadikan guru-guru dan kakitangan sangat berpuas hati kerana banyak maklumat baru dapat dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Pelbagai persoalan juga telah dapat dijawab oleh Encik Tahir dengan baik.

Majlis LDP ini diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada Pengetua di atas kesudian semua guru dan kakitangan menghadiri kursus ini.

Friday, October 23, 2009

Jiran-jiranku

Sewaktu kecilku, aku tinggal di Tebuk Hj Abdan. Rumahku berada di Jalan Hj Idris. Di kiri rumahku ialah rumah isteri kedua ayahku iaitu Sumarmi. Mak Sumarmi mempunyai 11 orang anak hasil perkahwinan dengan ayahku. 5 lelaki dan 6 orang perempuan. Ibuku Siti Bayah dan adik-beradikku 8 orang. 5 lelaki dan 3 perempuan. Manakala jiran di kanan rumahku adalah sebuah keluarga cina yang menyewa tanah ayah. Tan Tien Oun adalah ketua keluarga. Dia mempunyai 7 orang anak.

Apa yang menarik mengenai kami semua ialah anak pertama hingga kelapan/ ketujuh adalah sebaya. Kami dilahirkan antara tahun 1969 hingga 1981. Bayangkan betapa meriah dan seronoknya zaman kanak-kanakku. Apa sahaja permainan, kami sentiasa cukup ahli. Kami sememangnya anak-anak kampung yang lasak bermain. Jalan dan halaman kami tidak ditumbuhi rumput kerana kami rajin memijaknya. Tambahan pula, banyak pokok nipah di sekeliling rumah-rumah kami. ayah tidak membenarkan nipah-nipah itu ditebang kecuali jika mahu membuat atap.

Anak-anak cina jiranku bernama Tan Ah Chu, Tan Kim Seng, Tan Siew Hong, Tan Lai Chu, Tan Siew Tin, Tan Bee Ling dan Tan Kim Tek. Tan Siew Hong sebaya denganku. Anak Mak Sumarmi yang sebaya denganku ialah Siti Mutmainah. Kami bertiga adalah anak ketiga dalam keluarga.

Tan Tien Oun membuka perniagaan membeli buah koko daripada penduduk kampungku. Selalunya bila koko beliannya banyak, dia akan meminta tolong pada kami membantu menjemur koko pada waktu pagi dan mengangkat koko pada waktu petang. Kami akan diberi upah atas kerja itu. Kadang-kadang dalam sehari dapatlah aku 50 sen hingga seringgit. walaupun hanya lima puluh sen, tetapi awal tahun 80-an, nilainya tinggi. Aku belanja sekolah pun hanya dengan duit 20 sen. Kadang-kadang tak berbelanja langsung apabila ibu tidak mampu memberi duit belanja sekolah. Sebab itulah aku malas pergi sekolah agama. Ibu tidak dapat memberi wang belanja untukku jika aku sekolah petang.

Apa yang menarik mengenai keluarga cina jiranku ini ialah semua anak-anaknya pandai berbahasa Jawa. Kami memang berkomunikasi menggunakan bahasa jawa, bukan Bahasa Melayu. Ibu kata sewaktu abang sulungku kecil, ia selalu juga bermain dengan anak cina yang sulung. Abang cakap jawa, Tan Ah Chu bercakap cina. Lama-lama anak cina tu pandai cakap Jawa, kami cuma tahu sedikit sahaja berbahasa cina.

Biasanya, kami anak-anak daripada 3 buah rumah mempunyai permainan semasa. Permainan yang sering kami mainkan ialah baling botol, baling kasut, baling tin, galah panjang, rondas dan mandi dalam parit di depan rumah. Ada ketikanya, kami mandi parit sehingga parit itu keruh dan berlekuk kami bermain tanah ditebingnya, ayah akan menghambat kami naik menggunakan pelepah kelapa. Mencicit kami melarikan diri dari kena hambat...

Dua minggu selepas aku selesai menghadapi peperiksaan STPM,aku pergi ke Mesir iaitu pada pertengahan Disember 1992. Ketika aku berada di Mesir, keluarga cina ini telah berpindah ke pekan Sabak bernam. Selepas aku balik ke Malaysia pada tahun 1998, adalah beberapa kali keluarga cina ini datang ke rumahku pada hari raya. Kali terakhir aku bertemu keluarga ini adalah tiga tahun yang lalu. Nampaknya anak-anaknya yang kutemui masih boleh berbahasa Jawa.Seperti keluargaku, hampir semua anak-anak cina jiranku dulu telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.

Tuesday, October 20, 2009

Mengapa Harta Pusaka Lambat Dibahagikan


Waris biasanya melambatkan pembahagian harta pusaka kerana salah satu sebab yang berikut :

1. Salah tanggapan.
Sebahagian masyarakat merasa berdosa jika harta segera dibahagikan kerana beranggapan
" Tanah kubur masih merah lagi". Ini adalah salah dengan konsep Islam kerana Sayyidina
Umar pernah memadamkan pelita seorang sahabatnya yang telah mati kerana dikhuatiri
minyak pelita itu habis, kerana minyak itu milik waris dan beliau masih belum meminta
izin daripada waris-waris untuk menggunakannya.

2. Terlalu bersopan.
Masyarakat kita terkenal dengan sifat bersopan santunnya. mereka berhati-hati agar
masyarakat tidak mengata sesuatu yang tidak baik pada mereka. Mengenai harta pusaka,
mereka bimbang dikata orang sebagai tamakkan harta atau dipandang serong oleh ahli
keluarga mereka sendiri.

3. Tiada pengetahuan.
Sebahagian pewaris tidak mengetahui secara mendalam mengenai pengurusan dan
pembahagian harta pusaka. Mereka tidak tahu bagaimana cara menguruskan pusaka, siapa
yang patut mereka rujuk, berapa bahagian setiap individu yang ditinggalkan, siapa golongan
yang layak menerima harta pusaka tersebut dan ditambah lagi jika mereka tidak mempunyai
wang simpanan langsung. Mereka beranggapan, apa-apa urusan tanah dan harta, ia mesti
dikenakan bayaran sedangkan mereka tidak mempunyai wang.

4. Sikap tidak apa @ tidak prihatin.
Sesetengah masyarakat pula menganggap menyelesaikan masalah pusaka sebagai suatu
urusan remeh temeh. Tidak mengapa jika ia lambat diuruskan. Mereka hanya mahu
menguruskannya jika ada yang menguntungkan mereka seperti harta itu hendak dijual,
digadai atau diambil oleh kerajaan dan mereka mendapat wang bayaran atau pampasannya.

5. Menaruh harapan pada anak sulung.
Sebahagian masyarakat pula meletakkan tanggungjawab menguruskan pusaka pada anak
sulung sahaja. Sedangkan anak sulung kadang-kadang tidak tahu apa yang harus
dilakukannya. Sepatutnya waris perlu memilih siapa dikalangan mereka yang paling
bertanggungjawab dan mampu menguruskannya dengan adil mengikut Islam.

6. Tidak mahu harta berpindah kepada orang lain.
Sebahagian waris pula malas menguruskan harta pusaka kerana tidak mahu menyusahkan
diri sendiri dan selesa dengan keadaan sedia ada. Mereka ini biasanya duduk di atas tanah si
mati. Mereka bimbang jika ia diuruskan, tanah yang mereka duduki akan berpindah kepada
waris yang lain pula. Jadi, untuk tidak berlaku demikian, eloklah tanah itu terus kekal dengan
nama si mati.

7. Pertelingkahan dalam kalangan waris.
Pertelingkahan dalam kalangan waris juga menjadi punca ia lambat diuruskan. Hal begini,
biasanya berlaku jika si mati meninggalkan waris yang ramai. Isteri lebih seorang dan
bilangan anak yang sangat ramai. Keadaan ini, bertambah sukar jika semua waris itu kurang
memberi kerjasama, duduk berjauhan.
Akibat daripada perkara ini, pusaka itu tidak dibahagikan dan lebih malang lagi jika yang
tamak terus menguasai harta itu tanpa kerelaan semua waris yang lain. Ia tinggal di atas
tanah milik si mati, memakan hasil tanah itu, sedangkan waris lain tidak mendapat apa-apa
manfaat dari harta si mati itu selagi ia belum dibahagikan.

Pemergian Ibu

Hari itu, 3 Januari 2007, aku dan suami bersegera pulang ke kampung jam 11 malam. Tadi adik menelefonku. "Kak baliklah cepat, mak macam dah tak ada je".

Sepanjang perjalanan, tak berhenti airmataku mengalir. Baru saja rasanya aku meninggalkan ibu. Ketika aku pulang ke rumahku minggu lalu, aku meminta keampunan pada ibu. Ibu memelukku dan mengatakan dia telah memaafkan dosa semua anak-anaknya. Ibu juga memeluk suamiku dan berpesan agar suamiku menjagaku dengan baik.

Ibu dimasukkan ke wad di HBTAR pertengahan Disember kerana komplikasi penyakit hepatitis, kencing manis dan darah tingginya. Seminggu kemudian ibu dibenarkan pulang ketika keadaan sangat tenat. Rupanya, bila berada di rumah, ibu semakin sihat dan boleh berjalan. Ramai orang menziarahi ibu dan ibu sempat meminta maaf pada semua orang. Bekas menantu ibu juga dapat datang bersama 2 orang cucu ibu. Ibu teringin benar melihat cucu ibu yang baru dilahirkan 2 bulan yang lalu.

Ibu! seakan tak sempat aku berjasa padamu Ibu. Kaulah ibu yang telah bersusah payah membesarkan kami 8 beradik sejak pemergian ayah hampir 2 dekad yang lalu. Kaulah ibu sejati yang mendidik kami dengan nilai akhlak dan keimanan.

Sampai di kampung, jam menunjukkan jam 12.30 malam. Seingatku, itulah kali pertama dan terakhir aku boleh sampai ke kampung secepat itu. Selalunya paling awal 2 jam. 2 orang makcikku dan 2 orang adikku sudah berada di rumah. Ku lihat, wajah ibu seakan tersenyum menyambutku pulang meskipun matanya telah terpejam rapat. Kata abang " Ibu pergi dalam keadaan sangat tenang tidak lama selepas selesai abang suapkan makan malam". Malam itu juga, kami selesai memandikan ibu sekitar jam 3 pagi. Kami terus bacakan Yasin untuk ibu secara bertukar ganti.

Esoknya, majlis pengkebumian selesai pada jam 11.30 pagi. Ketika penggali kubur menimbunkan tanah, ia menginjak-injak tanah di atas perkuburan. Anak buahku Afifi yang berusia 4 tahun bertanya kepada ibunya iaitu adikku " Ibu, kenapa orang tu pijak-pijak tanah atas Embah, nanti kalau ibu meninggal, Pipi pun kena buat macam tu jugakke?.

Seperti sewaktu kematian nenek pada tahun 2000 dan adik kepada ibu pada tahun 2004 ( yang dikebumikan di tanah perkuburan yang sama ), kami menyambung membaca Yasin di makam bersama semua ahli keluarga. Ya Allah! pastinya ibu gembira disisimu kerana ibu adalah seorang guru Al-Qur'an. Ibu giat belajar tajuid dan mengajarkan pada muslimat di kampung dan Pekan Sabak Bernam sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Saturday, October 17, 2009

Aspuri dan Aspura dan Para Warden Sekolah


Aku mula mendaftar sebagai salah seorang warga sekolah ini mulai 1 Oktober 2007. 2 tahun berada di sekolah ini telah memberi pelbagai cerita dan suka dan duka.
Aku adalah salah seorang warden aspuri. Selain aku, warden yang lain ialah Puan Sabariah, Puan Rubiah, Puan Norhasliza dan Puan Shamsiah. Manakala warden lelaki pula ialah Ustaz Nizam, Ustaz syukri, Cikgu Azlee, Cikgu Muzakkir dan Ustaz Yusri.

Majlis Pengawas Asrama ( MPA ) pula dilantik setiap tahun dan pertukaran biasanya berlaku pada bulan Ogos. Gambar di atas adalah sebahagian besar daripada semua MPA yang seramai 22 orang yang terdiri daripada pelajat tingkatan 2, 3 dan 4.

Penerima Pusaka Lelaki & Wanita

3 Kumpulan Penerima Pusaka
A ) Ahli Keluarga Yang Pasti Mendapat Bahagian Pusaka
Mereka ada 6 kumpulah iaitu :

1. Suami yang sah ( 1/2 atau 1/4 jika ada anak )
2. Isteri yang sah (1/4 atau 1/8 jika ada anak )
3. Anak lelaki ( sekali ganda berbanding anak perempuan )
4. Anak Perempuan ( separuh daripada bahagian anak lelaki )
5. Ibu Kandung ( 1/3, 1/3 baki atau 1/6 )
6. Ayah Kandung ( 1/6, 'asobah atau 1/6 tambah 'asobah )

B ) Ahli Keluarga ( Lelaki ) Yang Boleh Mendapat Pusaka
1. Adik beradik ( seibu sebapa. sebapa atau seibu )
2. Anak lelaki kepada adik beradik seibu sebapa @ sebapa.
3. Bapa saudara seibu sebapa dengan bapa @ sebapa sahaja.
4. Sepupu ( anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa dengan bapa @ sebapa.

C ) Ahli Keluaraga ( Perempuan ) Yang Boleh Mendapat Pusaka
Mereka ialah adik beradik seibu sebapa, sebapa atau seibu sahaja.

Wednesday, October 7, 2009

Rakan Serumah di Al-Azhar Mansurah





Gambar ini di diambil di kedai Syams, Madinatis Salam, Mansurah, Egypt pada 1 September 1998. Ketika itu, aku mengulang pengajian tahun 4 Syukbah Usuluddin Qismu Aqidah Wa Falsafah dengan membawa 4 Madah. Zarina ( berdiri di kiri sekali ) sudah menamatkan pengajian Ijazah Syariahnya dan akan pulang ke Malaysia. Azhariah adik dari Kelantan ( bertopi merah ) dan Ayuswati juga dari Kelantan ( duduk ) baru berada di tahun 2. Mereka baru datang ke Mesir pada sesi 1996-1997.

Kini, selepas 11 tahun berlalu, aku sering terkenangkan rakan-rakanku ini. Pada hari raya pertama tahun ini, aku sempat menziarahi Zarina yang ketika itu berada di rumah ibunya di Pasir Panjang. Beliau telah pun mempunyai 4 orang cahaya mata terdiri daripada 2 lelaki dan 2 perempuan. Kini beliau dan suaminya bertugas di Teluk Intan, Perak. Ayuswati, kali terakhir aku bertemu dengannya pada bulan Ogos tahun 2006 yang lalu. Ketika itu, aku terlibat dalam satu program di Kelantan. Beliau menemuiku di tempat penginapan. Kemudian kami pergi ke sebuah restoran. Beliau bersama suami dan 3 orang anak beliau. Azhariah juga dapat aku hubungi seminggu selepas aku bertemu Zarina. Harapanku, semoga jalinan persahabatan kita tetap berkekalan....

Beberapa hari lalu aku berhubung dengan Ayuswati. Beliau memaklumkan bahawa kini beliau mempunyai 4 orang anak yang terdiri daripada 2 lelaki dan 2 perempuan. Sama dengan Zarina...
Beliau mengajakku untuk bertemu sekiranya aku pergi ke Kelantan.... Tapi entah bilalah aku akan dapat pergi ke sana... Suatu masa nanti, jika panjang umur kita pasti akan bertemu lagi.